Pages

Monday 7 November 2011

sebuah kisah benar yg menyayat hati yg menlambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya


 
 
 
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membu...sung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.


Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?

Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.



7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.

13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?

Mak jawab, "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.

Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"

Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.

Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.

Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.

Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.

Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"

Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."

Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.

Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"

Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).

al fatihah buat allahyarham adik iqbal fahreen.

Saturday 16 July 2011

Tiada amalan khusus malam Nisfu Syaaban

SETIAP ciptaan Allah di atas muka bumi mempunyai kelebihan tersendiri supaya manusia dapat melihat dan menilai segala nikmat Allah serta menginsafi kelemahan atau kelebihan masing-masing.

Begitu juga masa dan tempat yang diberikan kelebihan oleh Allah bagi mereka yang beribadat kepada-Nya umpama di bumi Makkah atau Madinah berbanding di tempat lain.
Beberapa bulan diciptakan Allah juga mempunyai kelebihan tersendiri dalam gandaan pahala ibadat seperti Muharam, Rejab, Syaaban dan Ramadan yang akan ditempuhi tidak lama lagi.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 sebagai ketetapan Allah pada waktu diciptakan langit dan bumi dan antaranya adalah bulan haram. Maka janganlah kamu menzalimi dirimu pada empat bulan itu.” (Surah at-Taubah, ayat 36).

Tidak dapat dinafikan satu kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 10 kebaikan. Namun demikian, Allah juga menggandakannya hingga menjadi 700 kali ganda seperti apa yang pernah disebut Baginda Nabi SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan nescaya akan mendapat 10 kali ganda.” (Surah al-Ana’am, ayat 160).

Hadis sahih juga pernah menyebut Baginda SAW mempertingkatkan ibadat pada bulan tertentu khususnya berpuasa pada Syaaban seperti disabdakan Baginda SAW yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan bagi umatku.” (Al-Hadis).
Hadis sahih juga ada menyebut Baginda Rasul SAW banyak berpuasa pada Syaaban seolah-olah dia berada pada Ramadan. Ini menunjukkan kelebihan yang ada pada Syaaban serta persediaan rapi Baginda SAW menghadapi Ramadan al-Mubarak.

Dikatakan juga pada malam Nisfu Syaaban ditentukan hari kelahiran dan kematian seorang manusia, ditentukan juga mereka yang akan menunaikan haji pada tahun itu serta mereka yang akan mendirikan rumah tangga. Sesiapa yang berdoa padanya akan dimakbulkan doanya kecuali mereka yang menganiaya orang lain serta berterusan melakukan dosa. (Taharatul Qulub oleh Syekh Abd Aziz Ad-Duraini).




Atas dasar inilah kita melakukan ibadat pada malam Nisfu Syaaban serta berdoa padanya. Namun demikian, bacaan Yasin tiga kali pada malam itu tiada dalil yang dapat disandarkan dan kita bebas beribadat hingga membaca 1,000 kali surah Yasin sekalipun adalah diharuskan.

Daripada Abu Hurairah, bahawa pada malam Nisfu Syaaban, ketujuh-tujuh pintu langit dibuka dan ada malaikat pada setiap pintunya memohon keampunan bagi kaum Muslimin kecuali mereka yang berterusan melakukan dosa besar.

Mereka yang terdahulu juga banyak melakukan solat pada malam itu sehingga mencapai 100 rakaat dengan membaca surah Fatihah dan al-Ikhlas.

Hasan Al-Basri pernah berbicara dengan 30 sahabat Nabi SAW dan merumuskan bahawa sesiapa yang bersolat seumpama di atas, akan dipandang tinggi oleh Allah serta dimakbulkan doanya dan ditunaikan hajatnya. Paling tidak ia mendapat keampunan daripada-Nya. (Pandangan ahli sufi).

Diriwayatkan, Aisyah ketika tiba giliran di rumahnya pada satu malam pernah terjaga dan mendapati Baginda SAW bersolat sehingga hampir Subuh serta mendengar Baginda berdoa: “Ya Allah, Aku bersujud pada-Mu dengan jiwa yang penuh ketenteraman. Menadah tangan memohon keampunan dari-Mu kerana tiada yang maha pengampun selain dari-Mu. Aku berlindung dari kemurkaan-Mu serta tiada pujian yang layak diberikan selain dari-Mu”. Tatkala selesai Baginda ditanya oleh Aisyah dan memberitahu bahawa itulah malam Nisfu Syaaban. (Hadis fadilat amalan).

Kesimpulan daripada apa yang dibincangkan, memperbanyakkan ibadat diharuskan khususnya pada waktu tertentu sebagai latihan dan masyarakat memerlukan motivasi ibadat ketika menjelang Ramadan.

Semoga amalan yang dilakukan akan dapat diteruskan sepanjang tahun dan menjadi rutin dalam kehidupan kita

Oleh Ustaz Zamanuddin JusohThe New Straits Times Press (NSTP)

Friday 8 July 2011

Khutbah Jemaah: Perhimpunan haram tindakan binasakan masyarakat, negara

SEJARAH ketamadunan manusia menunjukkan nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Keamanan bererti kita bebas daripada sebarang ancaman yang menggugat keharmonian hidup.

Kita bersyukur negara aman dan damai walaupun ketika ini menghadapi beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara. Dengan keamanan, kita dapat melakukan urusan kehidupan tanpa berasa takut, gerun dan dengannya boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada rakyat serta negara.

Firman Allah bermaksud: “Dan Allah memberikan misalan; sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”
(Surah an-Nahl, ayat 112)



Memelihara keamanan dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, bangsa atau keturunan. Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Makkah sebagai pusat ibadat dan Tanah Suci mendoakan Makkah dikurniakan Allah keamanan.

Kita juga menyaksikan rugi dan malangnya negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan. Negara itu bukan saja ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan sentiasa terancam.

Justeru, Islam menolak gerakan mengganggu keamanan negara termasuk pelampau.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Mutakhir ini, golongan pelampau menggelarkan diri Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (BERSIH) kian membimbangkan. Golongan ini asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam.

Dalam mencapai matlamat, golongan ini akan melakukan perhimpunan haram, berarak, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.

Lebih malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik dan meniru keganasan yang berlaku di negara lain bagi mengugut pemerintah supaya memenuhi tuntutan mereka.

Mimbar ingin menegaskan, tindakan golongan pengkhianat seperti ini tindakan zalim dan haram umat Islam mengikutinya kerana ia boleh mencampak manusia dalam kebinasaan, mendatangkan keburukan serta kesusahan kepada masyarakat.

Perhimpunan haram kebiasaannya mencetuskan pelbagai insiden buruk. Pertembungan dua pihak bertelagah mencetuskan lebih banyak perbalahan akhirnya mengakibatkan pertumpahan darah.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negara, kita dituntut untuk tidak terbabit dalam segala bentuk perhimpunan yang boleh merosakkan agama dan keamanan negara. Soal ancaman ini perlu diambil perhatian semua pihak kerana membabitkan keselamatan negara.

Jika perkara ini tidak dipatuhi, maka hancurlah keutuhan bangsa yang boleh memusnahkan kedaulatan negara. Ulama besar mazhab al-Shafie, Abi Ishak al-Juwayni berkata: Haram melakukan perhimpunan yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia dan negara.

Keamanan dan keharmonian negara mestilah dipelihara dan dipertahankan oleh seluruh warga negara. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan sebahagian daripada ibadat dan tanda jihad di jalan Allah.

Oleh itu, sebagai orang beriman, marilah kita mengekalkan keamanan dikecapi selama ini. Tindakan yang memporak-perandakan umat Islam dan negara akan diancam hukuman berat oleh Allah.

dari Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Tuesday 5 July 2011

Solat sempurna benteng hindari kemungkaran

Keikhlasan menunaikan ibadah elak amalan ditolak
PENSYARIATAN solat kepada Rasulullah SAW pada peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj berbeza dengan konsep penerimaan wahyu menjelaskan kepada kita bahawa solat itu teras agung terhadap label seorang Muslim.Bahkan dalam Islam, diserlahkan kekuatan solat itu sehingga diisytihar sebagai benteng kukuh yang mampu mencegah perbuatan maksiat. Malah, ia sering disebut sebagai jaminan pasti bagi kita dalam menolak perbuatan mungkar.




Tokoh ulama dari Tunisia, Syeikh Tahir Ibn A’syur, dalam kitabnya Maqasid al-Syariah, menyatakan bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya.

Justeru, dalam persoalan solat juga ada manfaat tersendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45).

Ayat ini memberi kefahaman bahawa solat dapat menghindar perbuatan mungkar dan itulah yang kita fahami selama ini.

Namun realitinya, dari segi praktikal ramai yang tertanya-tanya kenapa masih lagi ada perbuatan mungkar dan maksiat sedangkan si pelaku seorang yang tidak meninggalkan solat. Bukankah kehidupan realiti ini menggambarkan seolah-olah ada percanggahan dengan yang dinyatakan dalam al-Quran.
Sebenarnya, maksud al-Quran itu langsung tidak bercanggah dengan realiti kehidupan manusia. Boleh jadi solat yang dilakukan kita tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki dalam menghindarkan diri daripada perbuatan mungkar.

Jadi tidak menghairankan apabila Nabi SAW meletakkan graf tertentu kepada pelaku solat. Baginda bersabda yang bermaksud: “Ada orang yang telah melaksanakan solat, tetapi ia hanya menerima sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah pahala saja dari solatnya.” (Hadis hasan dari Ahmad, Abu Daud dan Ibn Hibban).

Solat bukan sekadar ibadah anggota badan saja tetapi ia adalah ibadah yang diteraskan dari hati sanubari seorang Muslim.

Disebabkan itu, Syeikh Muhammad Bayumi dalam kitabnya Akhta’ al-Musallin min Takbir ila Taslim menyatakan, orang yang hendak melakukan solat (iaitu sebelum solat) sudah semestinya ia tidak melakukan kejahatan dengan tangannya, tidak berkata kesat, tidak melihat yang diharamkan. Perbuatan hendak melakukan solat itu sendiri secara automatik membendung rasa inginkan kemungkaran.

Imam Ibn Kathir mensyaratkan tiga pokok asas solat iaitu, ikhlas, khasy-yah (takut) dan mengingati Allah. Ikhlas mengarah kita kepada perbuatan makruf, manakala khasy-yah (takut) pula menghalang daripada perbuatan mungkar.


Sebab itu, perbuatan solat secara zahirnya saja bukan penentu atau jaminan seseorang itu meninggalkan mungkar secara pasti. Walaupun ayat ini menyatakan demikian, namun ayat al-Quran perlu diteliti secara keseluruhan.

Boleh jadi solat dilakukan tanpa khusyuk, sambil lewa, malas bila mengerjakannya, solat dalam keadaan tergesa-gesa malah mungkin dilakukan semata-mata untuk berpura-pura dengan maksud riak.

Dalam al-Quran diceritakan bagaimana mungkin perbuatan mungkar mampu ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata, sedangkan dalam ayat lain Allah menyatakan kemurkaan kepada orang yang solat.

Ibnu Abbas memberi gambaran yang dimaksudkan orang yang celaka ialah mereka mengerjakan solat ketika di hadapan banyak orang dan tidak mengerjakannya ketika ia dalam keadaan bersendirian.

Begitu juga mereka yang lalai mengerjakan solat pada waktu ditetapkan dan sengaja melewat-lewatkan solat adalah ciri golongan munafik.

Bukan semua solat yang dikerjakan menghindarkan dirinya daripada perbuatan mungkar kerana mereka yang solat juga ada yang berpura-pura dengan solatnya seperti Abdullah bin Ubai bin Salul sendiri pernah solat di belakang Baginda Rasulullah SAW.

Justeru, amalan solat berdasarkan hadis sahih mengikut tatacara solat Nabi perlu dipelajari supaya solat tidak ditolak Allah hanya kerana kejahilan memahami sunnah.

Pada masa sama, benteng untuk mencegah kemungkaran bukan sekadar pergerakan anggota zahir semata-mata tetapi berkait rapat dengan hati. Solat adalah ikatan batin antara manusia dengan Allah.

Andai manusia cukup beradab sopan dengan Allah bermula dari saat takbir hingga salam, pastinya latihan sebanyak lima kali sehari itu dapat membentuk jiwa yang beradab sopan dengan Allah sepanjang kehidupan kita.

Janganlah apabila kita melakukan maksiat, maka kita menyalahkan solat kerana tidak mampu menjadi benteng. Tetapi periksalah keadaan solat kita, adakah ia benar-benar solat yang dikehendaki oleh Allah.

Flotila tak ubah haluan ke Gaza

PRESIDEN  Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan,  Muhammad Ridzwan Sulaiman  menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan Greece, Emmanuel Niotis,  di Kedutaan Greece, di Kuala Lumpur, semalam.
PRESIDEN Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan, Muhammad Ridzwan Sulaiman menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan Greece, Emmanuel Niotis, di Kedutaan Greece, di Kuala Lumpur, semalam.
 
 
Dokumentasi diserah kepada Kerajaan Greece mohon teruskan pelayaran
STEFANO Chiarini, kapal penumpang International Freedom Flotilla II yang dinaiki 10 sukarelawan Malaysia tidak akan menukar haluan atau melanggar undang-undang Greece untuk belayar ke Gaza.
Kapal penumpang membawa kira-kira 70 aktivis kemanusiaan pro-Palestin dari lebih 10 negara itu juga tidak bercadang belayar tanpa kebenaran pihak berkuasa pelabuhan Corfu, kepulauan yang terletak lebih 470 kilometer dari Athens.
 
 
Koordinator flotila itu, Nordin Elouali, berkata semua dokumentasi berkaitan sudah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Pelabuhan Corfu dengan destinasi kapal masih ke Gaza.

“Kita tidak akan tukar haluan dan mereka tidak ada sebab menahan Stefano Chiarini tanpa alasan kukuh,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sebelum itu, aktivis berarak dan mengadakan protes aman kali kedua di atas kapal itu yang kini di bawah pengawasan dua bot peronda penguat kuasa maritim Hellenic.

Nordin yang juga ahli politik Belanda berkata, mengikut undang-undang, Stefano Chiarini berpeluang 100 peratus untuk belayar jika Kerajaan Greece menghormati undang-undang dan tidak tunduk kepada tekanan luar.
Pihak berkuasa pelabuhan tempatan kini berdepan tekanan selepas Kerajaan Greece mengeluarkan arahan menghalang mana-mana kapal menggunakan bendera Greece atau bendera asing yang menyertai flotila kemanusiaan itu daripada berlepas ke Gaza.

Sukarelawan Malaysia diketuai Pengerusi Lifeline4Gaza, Dr Noorazman Mohd Samsuddin turut membantu misi flotila itu dengan menjaga keselamatan kapal daripada disabotaj, selain Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui usaha menulis surat bantahan ditandatangani semua Ahli Parlimen menyertai flotila kepada Kerajaan Greece supaya membenarkan semua kapal belayar.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Life Line For Gaza (LLG4G) dan Pergerakan Pemuda UMNO bersama tiga lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Konsulat Greece di Malaysia sebagai bantahan kepada kerajaan negara itu yang menghalang kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla II.
 

Monday 4 July 2011

Malaysia mara ke pusingan kedua

 

RAJAGOBAL (kanan) meraikan kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke pusingan kedua pada Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia walaupun tewas 2-3 kepada Taiwan malam tadi.
 

TAIPEI – Kejayaan Malaysia mara ke pusingan kedua pada Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia malam tadi memberi makna yang cukup besar buat jurulatih Datuk K. Rajagobal.Kejayaan itu boleh dianggap sebagai hadiah hari jadi buat Rajagobal yang akan menyambut hari ulang tahun ke-55 pada 10 Julai ini


Pada aksi malam tadi, meskipun tewas 2-3 kepada Taiwan pada pertemuan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Taipei, skuad kebangsaan tetap mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4.
Pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu, skuad Harimau Malaya itu mencipta kemenangan 2-1.
 
 
Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menggamamkan seketika kira-kira 25,000 penyokong tuan rumah hasil jaringan menarik pada minit kelapan menerusi sepakan percuma dari jarak 35 meter.Gol tersebut berpunca selepas kapten Safiq Rahim dijatuhkan pemain pertahanan Taiwan, Lin Cheng-Yi.


Peluang terbaik skuad kebangsaan menambah jaringan hadir pada minit ke-29, namun percubaan penyerang berbisa, Nor- shahrul Idlan Talaha sekadar melepasi palang gol tuan rumahBagaimanapun, gol penyamaan Taiwan itu tidak melunturkan semangat barisan negara dan hasil- nya mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi sepakan percuma Safiq pada minit ke-38.

petikan dari kosmo.

Saturday 2 July 2011

Kenapa Israel Selalu Menghalang Misi Gaza ?

ATHENS: Aktivis misi kemanusiaan ke Gaza menegaskan bukti yang menunjukkan pasukan perisikan Israel dalang dalam beberapa kemalangan membabitkan flotila itu semakin bertambah. 

Dua kapal yang "disabotaj" dan siri halangan birokratik menghalang konvoi terbabit daripada belayar dari Greece untuk mencabar sekatan laut di Semenanjung Gaza dan aktivis mendakwa ia angkara Mossad.



 Petikan dari Berita Harian



  '' Entah la kenapa Israel selalu menyekat misi bantuan Gaza. Sudah la menjajah negara Afganistan, menyerang Gaza. Apalah salah penduduk-penduduk di afganistan yang majoritinya adalah umat Islam. Bantuan dari Malaysia kepada Gaza pun berkali-kali disekat. Tiada langsung tindakan yang sepatutnya dilaksana kan keatas Israel.



  Semakin lama dunia berputar, semakin tinggi peristiwa peperangan. Entah lah, bila harta dunia direbut-rebut, maka ada yang sanggup menjajah, membunuh manusia. Zalim. sungguh zalim. Di dunia mereka mampu mengenggam kekayaan harta , tetapi di akhirat nanti kosong semuanya. Kosong..



  Kenapa Israel Selalu menghalang misi gaza ? itu bukan suatu jawapan dari aku , tapi pertanyaan yang selalu membingungkan rasa hati.. kasihanilah sesiapa pun , mereka juga manusia seperti kita...

Blog Ini Telah Dilahirkan Pada 2 Julai 2011

     Assalam kawan-kawan, Alhamdulillah diatas syukur hikmat aku telah melahirkan blog picisan ini dengan entry pertama yang bertarikh 2 Julai 2011 Jam 10.56 Malam. Di atas bantuan sahabat-sahabat blog, aku rasa ianya akan menjadi satu semangat untuk aku bermula menjadi seorang blogger.



    Hidup ini tak cukup jika gula dan garam tiada didalam resepi kehidupan sebagaimana niat aku mendirikan blog picisan ini. Blog ini tiada niat bermaksud untuk mengaibkan seseorang, menghina mana-mana pihak, mengutuk, mencaci dan sebagainya yang negatif. Aku harap aku bisa melahirkan entry-entry yang membawa pengajaran, teladan dan nasihat kepada semua masyarakat yang telah tersesat memasuki blog aku ni.



   Serius, untuk pertama kalinya pasti aku akan gugup sementara dan hilang daya timbang rasa untuk menulis sesuatu yang berfaedah. Aku harap berkat tunjuk ajar blogger-blogger lain, aku mampu untuk menjadi lebih baik daripada hari ini, esok dan seterusnya. Semoga aku mampu mencari sahabat blogger yang mungkin akan menjadi sahabat realiti aku suatu hari nanti, insyaAllah.


  Jadi dengan ini, sebagai entry pertama aku dan seterusnya. Semoga blog aku diterima oleh semua lapisan masyarakat . Assalam.